PERTAMA kali digandingkan di layar perak sebagai pasangan kekasih,  pastinya mengundang perasaan gemuruh dan terdetik rasa malu untuk  mendampingi pasangan.
Pengalaman ini dilalui pelakon baru yang semakin meningkat popular,  Aeril Zafrel apabila mendapat peluang berganding bersama pelakon jelita,  Tiz Zaqyah. Sebagai anak seni yang baru bertapak dalam bidang lakon,  Aeril berasakan berlakon di sisi Tiz yang cukup popular dengan drama  bersiri, Nur Kasih suatu peluang keemasan yang ditunggu.
Aeril berkata, dia mendapat tahu Tiz sebagai pasangan pelakon utamanya  ketika dua minggu sebelum penggambaran filem Cinta Kura-Kura terbitan  KRU Studios dijalankan. Ketika hadir pada sesi baca skrip filem ini, dia  tidak menyangka akan bersama Tiz menjadi tunjang menggerak perjalanan  cerita ini.
Ketika fotografi ini diatur KRU Studios di Palm  Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya kelmarin, jelas kelihatan keserasian  di antara Aeril dengan Tiz.  Mungkin masih ramai yang belum mengenali  Aeril di pentas lakon berbanding Tiz tetapi dia pernah mencuri tumpuan  menerusi drama bersiri, Klik di Astro Ceria dan filem pertamanya, Aku  Tak Bodoh ditayangkan tahun lalu.
Aeril berkata, dia bersama Tiz mula berkawan rapat ketika terbabit  dalam filem ini. Dalam filem arahan Nizam Zakaria ini, Aeril membawakan  watak Adam mempunyai perasaan sayang pada haiwan iaitu kura-kura  manakala Tiz sebagai Nani, memelihara kura-kura, Nico.  
Hubungan dua watak ini bertemu selepas Nani berpindah ke rumah  abangnya, Amin (Bob AF2) dan mereka berjiran dengan Aeril. Mengambil  subjek kura-kura, mereka menjadi rapat sehingga masing-masing memendam  perasaan cinta.
“Sepanjang berlakon bersama Tiz dalam filem ini,  saya berpandangan dia seorang yang sangat ‘mudah mesra’ dan boleh terima  pandangan satu sama lain. Malah, kami senang berbincang ketika  melakukan latihan dan berlakon, situasi ini membuatkan kami selesa  menghayati karakter.
“Sama ada di dalam set atau di luar, saya  fikir apabila pelakon itu banyak meluangkan masa bersama dan bergurau  satu sama lain, ia boleh membuatkan hubungan itu menjadi lebih rapat dan  mesra,” katanya.
Berbicara lanjut aspek lakonan, Aeril menyukai  watak Adam yang membawa karakter berbeza daripada apa yang pernah  dilakonkannya sebelum ini. Sambil merujuk pada watak utama, kura-kura,  dia perlu lebih banyak berkomunikasi dengan haiwan ini dalam banyak  adegan.
“Dalam cerita ini karakter saya digambarkan mempunyai  kelebihan boleh bercakap dengan kura-kura. Memang kelakar dan sukar pada  mulanya kerana ia memerlukan imaginasi seolah kura-kura ini memang  boleh berkomunikasi dengan manusia.
“Di awal perkenalan Adam  dengan Nani, Adam juga berkawan rapat dengan Nico iaitu kura-kura  peliharaan Nani. Situasi ini sebenarnya membuatkan Nani berasa cemburu.
“Di  set penggambaran, berlakon dengan cara imaginasi dan selamba, memberi  cabaran yang besar pada saya. Untuk mendapat penghayatan dan aksi  lakonan terbaik, saya sendiri sanggup beli patung kura-kura untuk buat  latihan,” katanya merujuk kembali penggambaran dijalankan awal tahun  lalu di sekitar Shah Alam, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Menyingkap  pengalaman di lokasi penggambaran, Aeril mengakui ia suatu yang  menyeronokkan dan mencuit hati apatah lagi pelbagai adegan spontan  berlaku bersama kura-kura sebenar ketika berlakon. Filem ini menggunakan  teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menampakkan kura-kura bercakap.
“Ada  adegan ketika saya memaksa kura-kura sebenar bercakap dengan  menggegarkan badannya, dia kemudian memberi respon sehingga berak atas  saya. Ada juga, adegan yang sepatutnya saya berkomunikasi dengannya  tetapi kura-kura itu pula memasukkan kepalanya ke dalam.
“Dalam  memahami sikap kura-kura ini, saya menyedari haiwan ini tidaklah  bertindak ganas tetapi selepas kita banyak belajar bagaimana menjaganya,  saya sendiri berasa lebih selesa,” katanya.
Tiz pula menyatakan  lakonannya kali ini lebih bersifat ringan berbanding watak-wataknya  sebelum ini yang banyak bermain emosi dan lebih menjurus pada soal  cinta. Secara peribadi, Tiz menyatakan dia selesa membawakan karakter  komedi selepas pernah membawa watak sebegini menerusi drama Suzana,  Aduh-Aduh Sayang dan Mencari Jalan Lurus.
“Cerita ini menarik  kerana ada elemen komedi diselitkan. Begitu juga, saya bersama Aeril  banyak bermain warna merah dan hijau kerana merah itu membawa maksud  cinta manakala hijau adalah kura-kura.
“Bagi saya, lakonan dan  dialog memainkan peranan penting dan banyak membantu dalam memberikan  elemen komedi itu sampai kepada penonton. Sebenarnya, berlakon komedi  lebih mudah kerana kita boleh membawa perwatakan sendiri secara semula  jadi dalam watak itu.
“Merujuk pada watak Nani dengan Adam,  mereka mempunyai perasaan cinta satu sama lain tetapi tidak  melafazkannya. Nani menunggu bila Adam mahu melamarnya tetapi sikap Adam  seolah lembap seperti kura-kura,” katanya.
Tiz akui perasaan  cinta antara Nani dengan Adam diibarat cinta pandang pertama apabila  masing-masing tertarik untuk mendekati tetapi tidak dilakukan dengan  serius. Sambil mencari titik serasi dengan Aeril melakonkan karakter  pasangan kekasih, Tiz juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan  diri dengan kura-kura.
“Saya tidak kekok bersama kura-kura kerana  saya juga menyukai haiwan peliharaan. Saya sendiri memelihara ‘sugar  glider’ dan kucing di rumah dan saya rasakan perasaan sayang yang wujud  terhadap kura-kura mahupun haiwan peliharaan saya sama saja.
“Menariknya,  dalam filem ini Nico makan pizza dan ada adegan saya menyuapkan pizza  kepada Nico. Saya fikir adegan ini menarik untuk ditonton menggambarkan  perasaan sayang antara manusia dengan haiwan cukup erat,” katanya.
Berbicara  perkembang lain, Tiz semakin sibuk dengan komitmen drama baru termasuk  kini terbabit dengan penggambaran Keroncong Untuk Ana arahan Eirma  Fatima yang dijayakan bersama Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar.
Menyentuh  azam 2012, dia mahu memperbaiki kelemahan lakonan sambil menyimpan  impian membawa karakter wanita lasak. Tiz berpandangan watak yang  dilakonkan sebelum ini bukan ‘stereotaip’ tetapi ia berbeza dengan  merujuk pada plot dan perkembangan watak.
7 perkara mengenai Aeril Zafrel
Kalau tak jadi artis?
Ahli perniagaan
Saya paling suka buat... 
Tengok DVD
Superhero paling diminati?
Superman 
Buku terakhir dibaca? 
Ya Allah Kenapa Kau Uji Aku 
Filem tempatan paling ‘best’?
Puteri Gunung Ledang
Barang yang masih belum dibeli?
Rumah 
Kereta pilihan? 
Chevrolet Bumblebee
7 perkara mengenai Tiz Zaqyah
Barang paling disayangi? 
iPad
Tabiat pelik diri sendiri? 
Gigit bibir, kuku dan makan ais
Impian belum dicapai? 
Melancong banyak tempat
Idola? 
Tun Dr Mahathir Mohamad & Angelina Jolie
Aktiviti masa lapang?
Rakam gambar dan melukis 
Kekasih dalam mimpi?
Edward Cullen 
Haiwan yang paling ditakuti?
Lipas
sumber: 
My Metro
 
0 000 orang mengemukakan pendapat:
Catat Ulasan